Aspek Psikologi dan hubungan sosial kanak-kanak juga besar pengaruhnya ke atas pembelajaran kanak-kanak. Anak-anak yang membesar dalam keluarga yang mesra dan penuh kasih sayang, mendapat perhatian dan layanan yang baik akan berkembang dengan lebih positif. Perasaan selamat, diterima, dihargai dan seumpanya menjadikan individu berkeupayaan belajar dengan berkesan. Persekitaran sekolah dan bilik darjah yang mengutamakan hubungan, layanan, pemenuhan keperluan dan perkongsian dalam pelbagai aspek akan membentuk persekitaran pembelajaran merangsangkan.
Persekitaran bilik darjah dalam aspek Psikososial lebih dikenali sebagai iklim bilik darjah. Iklim bilik darjah yang sihat mengamalkan hubungan sesama murid, hubungan guru dengan murid, semangat bekerjasama, tolong-menolong, toleransi, berbaik sangka, penerimaan, penghargaan dan rasa selamat. Guru memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan iklim bilik darjah yang sihat. Kepimpinan dan keupayaan guru untuk menguruskan hbungan dalam bilik darjah, penyediaan rutin bilik darjah, pelaksanaan peraturan bilik darjah secara adil serta bahasa dan bentuk komunikasi dan interaksi yang diamalkan membawa kepada pewujudan persekitaran psikososial yang membantu pembelajaran.
Menurut Abraham Maslow (1943), keperluan fisiologi dan keperluan psikologi perlu dipenuhi agar seseorang itu bermotivasi untuk mengembangkan potensi diri, berlajar perkara baru, memanipulasi keupayaan diri sepenuhnya serta berjaya mencabar diri untuk melakukan yang terbaik. Persekitaran pembelajaran aspek psikososial memenuhi keperluan kanak-kanak selaras dengan Hierarki Keperluan Maslow.
0 comments:
Post a Comment